Mantap Ejen Pengembangan Bantu Petani Manfaat Teknologi | Faculty of Computer Science and Information Technology
» ARTICLE » Mantap Ejen Pengembangan Bantu Petani Manfaat Teknologi

Mantap Ejen Pengembangan Bantu Petani Manfaat Teknologi

Oleh Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad

*Artikel ini hanya diterbitkan di dalam Bahasa Malaysia sahaja. 

 

PERTANIAN dan makanan menjadi sektor nadi kepada rakyat, sama ada ketika pandemik atau tidak. Ketika sektor lain seperti pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan terencat oleh pandemik, sektor makanan walaupun parah masih mampu menyediakan makanan kepada rakyat.

Apakah Belanjawan 2021 mujarab menangani kegentingan dihadapi sektor pertanian dan makanan? Bagi menjawab soalan ini, kita serasikan dengan masalah dihadapi dan perbelanjaan yang diperuntukkan kerajaan.

Permintaan ke atas makanan tidak terjejas dengan serius kerana ia keperluan asas kehidupan. Pada tahap awalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan ke atas makanan terputus sebentar, tetapi mula pulih apabila kelonggaran PKP dilaksanakan.

 

Namun, apa yang terjejas ialah pemakanan pengguna berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli makanan berkhasiat seperti susu, daging dan buah-buahan segar untuk anak dan orang berusia.

Dari sudut ini, kerajaan menyediakan bantuan kewangan untuk membantu mereka.

Namun, dari sudut penawaran, sektor ini dilanda pelbagai kesulitan dan kekangan. Pertama, masalah kekurangan buruh asing kerana ramai kembali ke negara asal ketika PKP dilaksanakan.

Mengikut Jabatan Statistik, sektor pertanian mengalami kekurangan buruh 22 peratus di bawah pandemik. Disebabkan penanaman komoditi makanan ialah intensif buruh atau banyak menggunakan tenaga kudrat seperti sawit, getah, sayur-sayuran dan tenusu, maka kekurangan buruh merendahkan produktiviti lantas pengeluaran.

Tahun demi tahun petani berdepan kenaikan kos pengeluaran, tanpa putus, namun peningkatan hasil tidak serancak kos. Masakan tidak, semua input diimpot daripada baka ayam, lembu, benih sayur dan buah, baja serta racun, fid untuk ternakan, kacang soya, mesin dan peralatannya dan juga buruh.

Maka, harga input ini menari bersama harga dunia, lantas kita turut 'mengimport' inflasi bersama barang ini.

Namun dalam belanjawan, tiada peruntukan untuk mengurangkan beban ini melalui bantuan pengurangan kos pengeluaran.

Pandemik ialah fenomena global. Hampir semua negara berdepan masalah penguncupan ekonomi kerana kejatuhan permintaan apabila langkah mitigasi seperti perintah berkurung dilaksanakan.

Gejala ini menjejaskan pengeluaran input pertanian seperti fid untuk ternakan, baja dan input pertanian yang lain. Penternak ayam dan itik kini mengalami masalah untuk mendapatkan fid untuk ternakan mereka lantas menggunakan betik dan sagu untuk ternakan mereka.

Risiko harga tidak pernah terbendung oleh petani. Ketika harga getah atau sawit merudum, petani kita kehilangan punca, termasuk peneroka FELDA.

Agensi atau korporat induk mereka seperti FELDA dan FGV mewah dengan keuntungan berjuta-juta, tetapi penurunan harga hanya 20 peratus sudah cukup untuk memiskinkan mereka dan merencatkan penanaman seterusnya.

Kerajaan sudah melupuskan hutang peneroka FELDA dan memberi insentif pengeluaran kepada pekebun kecil getah. Masalah sebegini memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Antaranya meningkatkan kapasiti produktif dan tabung dibiayai petani sendiri.

Antara model boleh difikirkan ialah dana penstabilan dan bayaran kurangan, iaitu waktu harga tinggi, sebahagian kecil keuntungan disimpan dalam tabung dana untuk musim tengkujuh atau harga turun.

Petani tahu akan kepentingan kepelbagaian kebun atau ladang dan sawah untuk meminimumkan risiko harga. Namun, mereka berdepan pelbagai rintangan untuk mempelbagaikan tanaman, seperti kekurangan modal, tiada sokongan khidmat nasihat, masalah pemasaran dan risiko pengeluaran.

Antara faktor menyebabkan kesangsian mereka ialah ketiadaan model kepelbagaian tanaman untuk dicontohi.

Bagi mempelbagaikan tanaman, insentif dan bantuan disediakan untuk membolehkan petani mempelbagaikan tanaman. Juga, dana perlu disediakan untuk beberapa projek perintis atau eksperimen perlu dilaksanakan untuk rujukan petani. Ini membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengembangan.

 

Gambar Hiasan

 

Teknologi melonjak tinggi seperti pelaksana mata wang kripto, kecerdasan buatan (AS), rantaian bekalan menggunakan block chain atau sokongan internet benda (IoT), tetapi semua ini tidak sampai kepada petani kecuali WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet.

Antara faktornya adalah kelemahan teknologi dan petani, iaitu ejen pengembangan. Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), kebanyakan mereka memiliki diploma atau sijil sahaja. Tidak menghairankan petani kita ketinggalan jauh.

Keluhan pegawai pengembangan menyatakan mereka tidak diberi ganjaran dan elaun sengsara cukup untuk mereka menjelajahi petani di kawasan pedalaman. Ganjaran kecil melemahkan motivasi dan kecekapan fungsi mereka.

Pegawai pengembangan ialah barisan hadapan pertanian untuk menyampaikan teknologi moden kepada petani, tetapi ketika ini terpinggir kerana tidak diberikan insentif kewangan dan peruntukan latihan mencukupi.

Tahniah kerajaan memperuntukkan RM60 juta kepada Agrobank untuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Sangat tepat sekali, tetapi jika kemahiran pegawai pengembangan tidak ditingkatkan, usaha ini tidak bermakna.

Semua kekangan terbabit memerangkap petani dalam kemiskinan tahun demi tahun. Sejumlah 90 peratus petani tergolong dalam B40 dan 75 peratus pekebun kecil getah menerima pendapatan kurang RM2,750 sebulan.

Peneroka FELDA masih berhutang kesan tadbir urus tidak jujur agensi dan korporat induk. Pemain hiliran seperti pengilang, pedagang, beberapa korporat induk meraih keuntungan yang lumayan. Dalam kata ringkas agihan keuntungan tidak setara antara peserta rantaian bekalan pertanian.

Belanjawan 2021 mengenal pasti beberapa penekanan bijak untuk menggalakkan pertanian komuniti, organik dan bandar serta beberapa insentif pengeluaran, pembangunan infrastruktur dan pelbagai lagi.

Namun, belanjawan itu akan lebih mantap dan lengkap jika kekurangan kritikal terbabit dirangkumi.

 

Sumber: Kolumnis, Berita Harian Online

Penulis adalah Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia.

Beliau juga merupakan Felo Penyelidik, Makmal Dasar Bio-Sumber dan Alam Sekitar di Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia.

Bidang kepakaran: Pemasaran dan Dasar Pertanian

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 26/11/2020 | Updated: 19/05/2022 | haris_harun

MEDIA SHARING

Faculty of Computer Science and Information Technology
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXEUGAc~