Guna Teknologi AI Urus Sumber Keterjaminan Makanan Negara | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» ARTIKEL » Guna teknologi AI urus sumber keterjaminan makanan negara

Guna teknologi AI urus sumber keterjaminan makanan negara

 

 

Keterjaminan makanan adalah perkara amat diberikan penekanan setiap negara seluruh dunia bagi memastikan bekalan makanan untuk penduduk mencukupi ketika ia diperlukan. Masalah berkaitan keterjaminan makanan ini biasanya berlaku jika kadar permintaan pengguna melebihi apa yang ditawarkan pembekal.

Punca utama keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan faktor cuaca atau bencana, tetapi belian panik menyebabkan barang makanan berkurangan di pasaran, pada masa sama, mengakibatkan kenaikan harga.

Bagaimanapun, keadaan ini boleh dikawal dalam konteks keterjaminan makanan dengan membangunkan Sistem Maklumat Pengurusan Keterjaminan Makanan Bersepadu (SMPKMP) bagi membantu kerajaan memantau dan membuat keputusan dengan baik serta lancar bagi menjamin bekalan makanan negara.

Di samping itu, penggunaan teknologi terbaru pada tahap maksimum juga mampu membantu melindungi keterjaminan makanan negara, terutama untuk meningkatkan kuantiti makanan dan melestarikan stok serta hasil pengeluaran yang boleh digunakan pada bila-bila masa apabila ia diperlukan.

 

Dalam hal ini, sistem SMPKMP bertindak sebagai tulang belakang operasi keterjaminan makanan negara, disambungkan dengan sistem maklumat geografi (GIS) dan ramalan cuaca, sekali gus mampu membantu petani atau peladang memantau hasil tanaman mereka usahakan secara moden berpandukan sistem pintar di samping dapat meningkatkan kuantiti pengeluaran berbanding dengan hasil tanaman secara konvensional.

Di samping itu, bagi meningkatkan kuantiti hasil makanan semasa, sistem pertanian pintar dilengkapi dengan teknologi AI dan IoT serta robot atau dron harus diguna pakai secara agresif bagi menjimatkan kos serta masa.

 

Apa yang penting, kadar tanaman seperti padi juga boleh dikembangkan kepada usaha sama antara petani dan seterusnya membentuk saiz tanaman berskala besar, mudah diusahakan secara seragam dan menyeluruh berbanding secara kecil-kecilan atau bercirikan individualistik.

Secara tidak langsung, konsep perladangan dapat diperkenalkan dan kuantiti hasil pengeluaran juga bertambah berbanding dengan konsep tradisional.

Selain itu, konsep tanaman perbandaran juga boleh diperkenalkan bagi menambah hasil tuaian seperti penanaman sayuran dan penternakan ikan boleh digabungkan dengan menggunakan konsep sistem 'aquaponic' menggunakan tenaga solar atau tenaga diperbaharui bagi memastikan aliran atau kitaran air daripada sistem akuakultur kepada sistem tanaman hidroponik boleh berfungsi sepenuhnya.

Dalam hal ini, teknologi AI, IoT, dan rantaian blok boleh digunakan sebagai alatan kawalan terhadap penghasilan serta pemantauan pengoperasian sistem aquaponik, terutama untuk mengawal keluaran hasil daripada pihak pembekal kepada pengguna membabitkan lokasi pasaran yang berfungsi secara digital di pasaran terbuka atau sebaliknya.

 

Ubah norma lama pertanian

Namun, ada banyak isu dan cabaran perlu ditangani bagi memastikan keterjaminan makanan negara terkawal menerusi penggunaan teknologi terbaharu ini. Ia perlu digunakan dengan sebaik-baiknya supaya tahap bekalan dan permintaan sentiasa mencukupi lagi terjamin, terutama ketika darurat atau bencana menimpa negara.

Dalam hal ini, isu data digunakan semua pihak berkepentingan khasnya kerajaan perlu tepat dan digunakan secara beretika supaya data itu tidak digodam, manakala perancangan serta strategi peramalan dan pelaksanaan dapat dibuat dengan tepat dan betul.

Seterusnya, tahap capaian kepada sistem secara digital menerusi jaringan dan rangkaian 4G atau 5G dengan menggunakan aplikasi bergerak atau mudah alih seperti sistem SMPKMP. Ia perlu seimbang dan inklusif, terutama bagi pihak berkepentingan di kawasan luar bandar.

 

.

.

.

... ikuti artikel selanjutnya di Berita Harian (9 Oktober 2023)

 

Prof. Ts. Dr. Rusli Hj. Abdullah (Foto)

Penulis adalah Profesor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 10/10/2023 | Kemaskini: 10/10/2023 | akmalhafiz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXEdJA0~