Pemerkasaan Mutu Kesihatan Negara Melalui Penggunaan Teknologi Terbaharu | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» ARTIKEL » Pemerkasaan Mutu Kesihatan Negara Melalui Penggunaan Teknologi Terbaharu

Pemerkasaan Mutu Kesihatan Negara Melalui Penggunaan Teknologi Terbaharu

 

 

 

PENGGUNAAN teknologi terbaharu di dalam kehidupan rakyat dan negara pada masa kini dilihat meningkat dari semasa ke semasa terutamanya di dalam mengharungi situasi semasa pandemik dan endemik disebabkan Covid-19.

 

Bermula dengan penggunaan aplikasi tertentu seperti MySejahtera bagi rakyat di Malaysia, dan Peduli di Indonesia memberikan banyak pengetahuan dan pengalaman kepada semua pihak bagi mengenalpasti tujuan alatan yang berkaitan dengan teknologi terbaharu boleh memberikan manfaat kepada mereka terutamanya hal ehwal cerapan dan memanipulasikan data secara analitik terhadap maklumat kesihatan berkenaan.

 

Di samping itu, penggunaan teknologi terbaharu ini juga dikaitkan dengan beberapa teknologi seperti teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence - AI), data raya (big data), pengintegrasian dan pengautomasian sistem dengan kefungsian sistem cerdas (Intelligent system), komputeran awan (cloud computing), teknologi internet benda (Internet of things (IoT), realiti maya (virtual reality), rantai blok (block chain), dan pelbagai teknologi lain yang dikaitkan dengan teknologi revolusi perindustrian - Industrial Revolution (IR) 4.0 yang difikirkan sesuai dan seiring dengan keperluan mereka.

 

Dengan kombinasi semua alatan teknologi baharu itu di dalam pelbagai bentuk penggunaan aplikasi seperti tele-perubatan, penggunaan alatan kecerdasan buatan seperti robot dan softbot dilihat dapat membantu semua pihak yang berkepentingan di dalam bidang sains perubatan dan meningkatkan mutu kesihatan negara ke tahap yang maksimum.

 

Peranan teknologi terbaharu di dalam aspek pengurusan kesihatan negara juga dapat dilihat di dalam pelbagai kategori utama.

 

Pengkategorian ini adalah berdasarkan kepada keperluan dan penggunaan teknologi terhadap pemegang taruh yang terdiri daripada pengamal perubatan seperti doktor, jururawat dan farmasi, pentadbir pusat kesihatan seperti pegawai kesihatan, penyokong operasi perubatan seperti pembekal ubatan dan kemudahan perubatan, dan pesakit itu sendiri.

 

Di dalam konteks pengamal perubatan, terdapat pelbagai alatan yang boleh digunakan oleh mereka bagi memastikan bahawa mutu perkhidmatan kepada pengguna seperti pesakit dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan seperti proses pendaftaran, pengesanan penyakit dan rawatan, profil data pesakit dan cerapan data mereka secara automatik serta proses konsultasi yang boleh dilakukan oleh pelbagai alatan sama ada secara fizikal ataupun secara dalam talian atau realiti maya.

 

Begitu juga dengan pentadbir pusat kesihatan, mereka boleh menggunakan sistem automasi yang dilengkapi dengan sistem pintar bagi tujuan pemantauan penyakit dan pesakit dengan mengeluarkan maklumat kepada pihak berkepentingan tertentu melalui sistem data raya dan sistem pintar yang beroperasi di pelantar komputeran awan serta menggunakan teknologi pengesanan IoT untuk mengeluarkan amaran awal berbentuk hotspot dan sebagainya.

 

Di dalam konteks pembekal atau penyedia ubatan dan kemudahan perubatan seperti hospital atau pusat kesihatan, penggunaan teknologi terbaharu seperti penggunaan rantai blok di dalam sistem maklumat perubatan dan sistem kewangan boleh meningkatkan tahap kawalan keselamatan data perubatan bagi semua pihak yang terbabit seperti data pesakit dan sebagainya.

 

Selanjutnya, di dalam konteks pesakit, teknologi terbaharu ini dilihat amat penting sekali.

 

Hal ini terutamanya di dalam proses mengenalpasti dan memperolehi data pesakit melalui teknologi IoT, merawat melalui cadangan nama dan jenis ubatan serta melaksanakan proses baikpulih atau rehabilitasi dengan menggunakan sistem robotik dan sistem pengrekodan maklumat yang mampu berfungsi mengikut keperluan mereka iaitu sama ada menggunakan peranti seperti telefon pintar ataupun jam pintar (smart watch) serta alatan robotik yang boleh beroperasi pada setiap masa.

 

Isu dan Cabaran

 

Isu dan cabaran utama di dalam memastikan mutu kesihatan ini dapat dilestarikan, ini termasuklah isu yang berkaitan dengan privasi dan keselamatan data, isu terhadap ketersediaan dan penerimaan teknologi dan proses pendigitalan, serta implikasi kos yang terbabit dalam perolehan dan penggunaan teknologi ini.

 

 

.... ikuti artikel selanjutnya di Harian Metro (15 Ogos 2023)

 

 

 

 

 

 Rusli

 

Foto: Prof. Ts. Dr. Rusli Hj Abdullah

  

Penulis merupakan profesor di Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemikir Penyelidikan di Institut Kajian Sains Sosial (IPSAS), UPM dan Timbalan Pengerusi, Kluster ICT, Majlis Profesor Negara

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 18/08/2023 | Kemaskini: 18/08/2023 | akmalhafiz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXEdFA1~