Pelajar FSKTM Tempat Kedua Pertandingan IoT Antarabangsa | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» BERITA » Pelajar FSKTM tempat kedua Pertandingan IoT antarabangsa

Pelajar FSKTM tempat kedua Pertandingan IoT antarabangsa

Oleh Azrina Kamaruddin

 

SERDANG, 15 Mac  –  Sekumpulan pelajar tahun dua Bacelor Kejuruteraan Perisian, Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi tempat kedua pertandingan ‘The 2017 HILTI INTERNET OF THINGS COMPETITION’  (IoT).

Mereka yang terdiri daripada Nur Husnina Abrari, Ezzat Fahmi Mohamad Zahir, Farah Nabiha Ahmad Radzi dan Nur Syafikah Mohd Yusof masing-masing menerima sijil penyertaan dan hadiah berupa barangan HILTI pada majlis yang diadakan  di HILTI Asia IT Services Sdn Bhd, Brunsfield Oasis Tower, Kuala Lumpur.

Tajuk aplikasi yang dipertandingkan iaitu “Predictive Maintenance” (PdM) diselia oleh pensyarah jabatan itu, Dr. Novia Admodisastro dan Dr. Saadah Hassan.

 Dr.Novia berkata penekanan yang dititikberatkan dalam penilaian pertandingan ialah daripada sudut teknikal dan konsep diniagakan.

Katanya, lapan kumpulan berjaya ke peringkat akhir daripada sejumlah 57 kumpulan dari seluruh negara yang menyertainya.

Dr. Saadah Hassan pula berkata ini adalah kali pertama pelajar Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat menyertai pertandingan peringkat antarabangsa itu.

“Pertandingan ini bukan sahaja sebagai platform untuk mempraktikkan teori yang dipelajari di dalam kelas tetapi juga sebagai saluran pendekatan inovatif dan kreatif dalam menggunakan pengetahuan kejuruteraan perisian dan pengekodan untuk mereka bentuk aplikasi bercirikan IoT,” katanya.

Beliau berharap kejayaan itu akan menjadi pendorong kepada semua pelajar untuk lebih maju, tatkala Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Maklumat UPM terus komited dalam menghasilkan pelajar yang inovatif, kreatif dan berdaya saing. - UPM

Tarikh Input: 09/05/2017 | Kemaskini: 09/05/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXEURA6~