Hoh Jia Da Rangkul Anugerah Putra Ikon 2023 | Faculty of Computer Science and Information Technology
» NEWS » Hoh Jia Da rangkul Anugerah Putra Ikon 2023

Hoh Jia Da rangkul Anugerah Putra Ikon 2023

*Berita ini disunting dalam Bahasa Malaysia sahaja.

 

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar dan Saleha Haron  

PUTRAJAYA, 18 Julai - Usaha yang berterusan sejak tahun pertama dalam dunia keusahawanan dan inovasi bukan sia-sia buat Hoh Jia Da apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Putra Ikon (API) 2023.

Pelajar tahun akhir Bacelor Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) ini merasa terkejut dan tidak menjangkakan beliau akan merangkul anugerah tersebut yang membawa pulang wang kemenangan RM1,000 bersama piala.

"Sepanjang empat tahun saya di UPM, banyak peluang dan pertolongan yang diberikan oleh pihak UPM kepada saya. Ini merupakan anugerah yang saya impikan.

"Saya juga tidak sangka BHEP membawakan ayah saya daripada Johor untuk datang pada majlis ini untuk meraikan kejayaan saya ini.

"Terima kasih saya ucapkan khasnya buat fakulti FSKTM, CEM yang membantu saya daripada tahun pertama saya menceburi bidang keusahawanan, BHEP dan UPM terutamanya," katanya ketika di temui di Majlis API 2023, di Shaftsbury Putrajaya, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau yang turut meraih Anugerah Kepimpinan Keusahawanan di bawah Kluster Pembangunan Sosial.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata API ini bukan sahaja sebagai medium penghargaan kepada para pelajar yang cemerlang dan aktif beraktiviti bahkan pemangkin kepada peningkatan pencapaian agar para pelajar menjadi lebih cemerlang.

"API merupakan platform untuk mengiktiraf dan memberi galakan kepada kepimpinan mahasiswa yang telah menunjukkan kecemerlangan yang holistik dan kompeten selari dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025," katanya.

Sebanyak 19 anugerah yang dipertandingkan iaitu Kluster Khas Individu (2 Anugerah), Kluster Khas Pasukan (4 Anugerah), Kluster Sukarelawanan (3 Anugerah), Kluster Pembangunan Akademik dan Intelektual (3 Anugerah), Kluster Pembangunan Sosial (3 Anugerah), Kluster Kepimpinan Pelajar (3 Anugerah) dan anugerah utama iaitu Anugerah Putra Ikon 2023. -UPM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 18/07/2023 | Updated: 18/07/2023 | akmalhafiz

MEDIA SHARING

Faculty of Computer Science and Information Technology
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXEbOAP~