FSKTM, Pusat Komuniti Luar Bandar Melayu Panchor Anjur Karnival Projek Pembangunan Usahawan Luar Bandar | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» BERITA » FSKTM, Pusat Komuniti Luar Bandar Melayu Panchor anjur karnival Projek Pembangunan Usahawan Luar Bandar

FSKTM, Pusat Komuniti Luar Bandar Melayu Panchor anjur karnival Projek Pembangunan Usahawan Luar Bandar

Disediakan oleh:  Prof. Madya Dr. Masnida Hussin

 

SERDANG, 4 Ogos – Projek pembangunan usahawan luar bandar di bawah skop Program Pemasaran Inovatif melalui ICT bermula pada 2017. Projek yang menghubungkan komuniti ini bertujuan menyebar-luaskan maklumat kepada masyarakat berkaitan pemasaran berkesan secara on-line untuk produk masyarakat luar bandar seperti di Panchor, Muar.

 

Projek ini menumpukan kepada penggunaan ICT untuk penjenamaan produk dan strategi pemasaran terutamanya melalui media sosial. Masyarakat luar bandar menghasilkan pelbagai produk berkualiti termasuk makanan, perkhidmatan dan barangan kraf. Justeru adalah penting untuk memperkenalkan serta membawa produk ini ke pasaran lebih besar.

 

Projek ini mendapat perhatian Kementerian Pendidikan di bawah Seksyen Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan Skim Dana UCTC-Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) selama dua tahun.

Pelbagai program telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini seperti bengkel rekabentuk pelekat produk menggunakan komputer, seminar pemasaran secara online, dan sesi perkongsian dengan usahawan online yang berjaya.

Terdapat 30 peserta yang komited kepada program kami sejak ia dimulakan. Maklumbalas daripada masyarakat setempat amat positif dan menggalakkan, yang mendorong kumpulan kami dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) UPM untuk pergi ke Muar dari Serdang untuk karnival ini.

Ia melibatkan kerjasama kedua-dua entiti UPM and JKKM Jorak dalam mengurus dan menjayakan karnival ini.  Ini termasuk mendirikan gerai, pengisian karnival dan aturcara majlis.

 

Menariknya, kami berbincang secara aktif dan bertukar idea melalui emel dan ‘mesej’ dalam menjayakan karnival ini. Pada karnival ini, kami juga mengadakan bengkel dan seminar meliputi pelbagai skop seperti pengurusan akauan dan pendekatan keselamatan makanan. Terdapat juga gerai usahawan tempatan Panchor untuk mereka mempamer serta menjual produk dan perkhidmatan mereka.

Pengarah UCTC UPM, Prof. Dr. Mansor Abu Talib berkata program komuniti seperti itu boleh merapatkan lagi hubungan antara universiti tempatan dengan masyarakat yang terbabit, serta dapat memahami dengan lebih baik kehendak dan keperluan masyarakat setempat, tatkala turut menawarkan kepakaran universiti  kepada masyarakat. – UPM

Tarikh Input: 11/09/2019 | Kemaskini: 11/09/2019 | akmalhafiz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXETTAl~