Lawatan FSKTM Ke Sekolah Angkat UPM MRSM Kuala Klawang | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» BERITA » Lawatan FSKTM ke sekolah angkat UPM MRSM Kuala Klawang

Lawatan FSKTM ke sekolah angkat UPM MRSM Kuala Klawang

Oleh: Dr. Hizmawati Madzin

 

 

KUALA KLAWANG, 6 Sept - Sekumpulan pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) diketuai Ketua Jabatan Multimedia, Profesor Madya Dr Fatimah Khalid mengadakan lawatan ke sekolah angkat UPM, sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, di sini.

Lawatan separuh hari itu adalah antara projek kemasyarakatan fakulti bagi memberi sumbangan kepada pelajar dalam bidang teknologi terkini. Seramai lima orang pensyarah dan seorang pelajar pascasiswazah turut mengikuti lawatan itu.

MRSM Kuala Klawang yang diwakili guru teknologi, Mastini  Masood menjemput FSKTM untuk memberikan perkongsian ilmu berkaitan Revolusi Industri 4.0 bersempena dengan Pesta Sains di sekolah itu.

Ceramah bertajuk 'IR 4.0 - How that will change your future lifestyle and future jobs' disampaikan oleh Dr Hizmawati Madzin, di Dewan Besar MRSM. Ia dihadiri kira-kira 200 orang pelajar Tingkatan 1 dan 2.

Ceramah itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai persediaan mereka menghadapi perubahan dalam bidang teknologi dan pembelajaran dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Antara intipati utama ceramah berkenaan adalah pelajar harus memegang tiga konsep pembelajaran iaitu 'learn, relearn and unlearn'. Pelajar harus memahami ilmu yang dipelajari dan pandai mengadaptasi dan mengaplikasikan ilmu itu dalam keadaan yang baharu.

 

 

Selain itu juga, pelajar harus menakluki dengan sepenuhnya pembelajaran STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) untuk terus kekal sebagai pelajar yang berdaya saing serta berjaya melalui perubahan teknologi yang begitu cepat peredarannya dan berjaya beroleh kerjaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Pensyarah juga melawat pameran inovasi sains oleh pelajar Tingkatan 2 yang terpilih.

Sebanyak 20 inovasi sains dipertandingkan dan inovasi itu merupakan idea asli pelajar dalam menyelesaikan masalah yang berlaku di persekitaran mereka.

Lawatan pensyarah FSKTM ke sekolah angkat itu memberi inspirasi dan aspirasi kepada pelajar untuk terus maju ke hadapan dan mampu memberi persediaan awal menghadapi dunia teknologi yang penuh dengan cabaran.

Ekoran daripada lawatan itu, MRSM Kuala Klawang bersetuju untuk mengadakan lebih banyak aktiviti dan program bersama FSKTM, termasuk bengkel produksi video, animasi, dan bengkel pembangunan aplikasi mobil pada masa yang akan datang. - UPM

Tarikh Input: 03/10/2019 | Kemaskini: 03/10/2019 | akmalhafiz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXDdGAJ~