UPM Universiti Pertama Malaysia Tersenarai 10 Universiti Muda Terbaik Dunia Qs 2021 World University Rankings 50 Under 50 | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» BERITA » UPM Universiti Pertama Malaysia tersenarai 10 Universiti Muda Terbaik Dunia Qs 2021 World University Rankings 50 Under 50

UPM Universiti Pertama Malaysia tersenarai 10 Universiti Muda Terbaik Dunia Qs 2021 World University Rankings 50 Under 50

SERDANG, 24 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan rentak kecemerlangan dalam penarafan antarabangsa apabila berjaya menjadi universiti pertama di Malaysia tersenarai pada tangga ke-10 terbaik dunia dalam ranking QS 2021 World University Rankings 50 Under 50 berbanding tangga ke-12 pada tahun lepas.

Ini adalah peningkatan secara berterusan selama lima tahun berturut-turut, sekali gus membolehkan UPM mengekalkan kedudukan sebagai universiti muda terbaik di Malaysia.

Pencapaian yang membanggakan ini membuktikan universiti muda seperti UPM mampu meraih kecemerlangan, reputasi dan penjenamaan imej setanding dengan  universiti lain yang lebih awal ditubuhkan.

Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UPM naik dalam hampir semua indikator yang dinilai dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi. Ini selari dengan usaha UPM dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program pengantarabangsaan.

Penilaian QS Top 50 under 50 ini menggunakan enam indikator yang sama seperti penilaian QS World University Ranking iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Student to Faculty Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International Students (5%).

Kejayaan demi kejayaan yang direkodkan oleh UPM dalam penilaian badan antarabangsa seperti ini membuktikan UPM berada pada landasan yang betul dalam menyediakan ekosistem pendidikan tinggi yang terbaik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

Ianya juga selari dengan dengan visi UPM iaitu, menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.

Prestasi yang cukup memberangsangkan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen seluruh warga UPM yang beriltizam untuk meletakkan UPM pada kedudukan yang terbaik di dunia.

Pencapaian ini menaikkan lagi semangat warga UPM untuk terus mengorak langkah bagi mencapai aspirasi dan sasaran Putra Global 100 (PG100) iaitu menjadi 100 universiti terbaik di dunia dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Pelan Strategik 2021-2025 dan Pelan Transformasi Melangkaui 2025 yang sedang dirangka bakal menjadi platform penting yang akan meneruskan legasi kecemerlangan UPM di persada antarabangsa. - UPM

Tarikh Input: 07/07/2020 | Kemaskini: 07/07/2020 | akmalhafiz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
C1597194538