Pelajar UPM Juara Pertandingan EMOBIQ | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» BERITA » Pelajar UPM Juara Pertandingan eMOBIQ

Pelajar UPM Juara Pertandingan eMOBIQ

 

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih juara pertandingan eMOBIQ Challenge anjuran Wilstech menerusi ciptaan aplikasi mudah alih 'Fincare' oleh sekumpulan pelajar tahun tiga Bacelor Sains Komputer (Sistem Komputer) dengan Kepujian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).

 

'Fincare' merupakan sebuah aplikasi mudah alih yang membantu kanak-kanak dalam perancangan kewangan dan membolehkan ibu bapa mereka untuk memantau perbelanjaan mereka. Kumpulan pelajar itu diketuai oleh Tan Ze Han Dylan dan mereka membawa pulang wang sebanyak RM10,000 sebagai hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi YB Datuk Ewon Benedick setelah berjaya menewaskan 127 kumpulan peserta yang lain.

 

Tan Ze Han Dylan meluahkan rasa gembira apabila usaha kerasnya bertungkus-lumus membina aplikasi bersama sembilan lagi ahli kumpulan yang lain membuahkan hasil kejayaan. Katanya, idea untuk membangunkan aplikasi mudah alih itu datang daripada kajian kes yang dijalankan bersama ahli kumpulannya dan mendedahkan bahawa satu daripada tiga rakyat Malaysia kekurangan pengetahuan kewangan manakala lebih 50 peratus rakyat Malaysia menggunakan e-dompet setiap hari. "Cabaran terbesar adalah mengumpulkan cadangan mengenai tajuk dan skop aplikasi yang terbaik untuk menyertai pertandingan ini. "Kami perlu mengumpul informasi mengenai masalah yang dihadapi oleh masyarakat kini serta penyelesaian yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi daripada pelbagai aspek.

 

"Kejayaan ini bukan hanya daripada kami sepuluh orang tetapi mendapat bantuan daripada pensyarah pembimbing kami iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Nur Izura Udzir. Terima kasih Dr kerana sentiasa memberi sokongan untuk meraih kemenangan ini," katanya.

 

eMOBIQ Challenge merupakan pertandingan pembangunan aplikasi tanpa pengekodan yang terbesar pernah diadakan di Malaysia dan terbuka kepada semua institusi pengajian tinggi di Malaysia. -UPM

 

Tarikh Input: 27/06/2023 | Kemaskini: 27/06/2023 | akmalhafiz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXEdPAh~