FSKTM ANJUR PROGRAM SULUNG TECH4GOOD 2025 PERKUKUH JARINGAN SERANTAU ASEAN | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» BERITA » FSKTM ANJUR PROGRAM SULUNG TECH4GOOD 2025 PERKUKUH JARINGAN SERANTAU ASEAN

FSKTM ANJUR PROGRAM SULUNG TECH4GOOD 2025 PERKUKUH JARINGAN SERANTAU ASEAN

Serdang, 14 Mei 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program sulung bertajuk FSKTM TECH4GOOD 2025 pada 14 hingga 16 Mei 2025 di Thailand. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara FSKTM, School of Engineering and Technology (SET), Asian Institute of Technology (AIT), Thailand dan Fakultas Ilmu Komputer dan Teknologi Informasi (Fasilkom-TI), Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia.

   

Program FSKTM TECH4GOOD 2025 menghimpunkan dua inisiatif utama berskala serantau, iaitu penganjuran bersama 2025 International Symposium on Data Science and Artificial Intelligence (ISDSAI 2025) yang berlangsung di Asian Institute of Technology (AIT), Pathum Thani, Thailand, serta pelaksanaan program khidmat komuniti di Sekolah Indonesia Bangkok (SIB).

ISDSAI 2025 yang diadakan buat julung kali menjadi platform ilmiah serantau yang menghimpunkan para penyelidik, akademik dan industri untuk membincangkan kemajuan, cabaran dan peluang dalam bidang sains data dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI). Simposium ini menampilkan sesi pembentangan penyelidikan terkini serta ucaptama daripada tokoh akademik dan profesional industri, sekali gus menggalakkan pertukaran ilmu dan memperluas jaringan penyelidikan rentas sempadan.

   

Dekan FSKTM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Shamala K. Subramaniam menyatakan bahawa program ini bukan sahaja membuka peluang penyelidikan dan inovasi, malah memperkukuh semangat kesepaduan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan institusi pendidikan tinggi serantau.

“TECH4GOOD 2025 mencerminkan komitmen UPM untuk terus menerajui kolaborasi serantau dalam ekosistem ASEAN serta menyumbang kepada pembangunan mampan dan inklusif melalui teknologi,” katanya 

   

Program ini turut membuka ruang kepada ahli akademik dan penyelidik dari ketiga-tiga institusi untuk meneroka projek kolaboratif berimpak tinggi dalam bidang teknologi maklumat, pendidikan digital dan pembangunan masyarakat. Pelaksanaan TECH4GOOD 2025 dijangka akan diteruskan sebagai program tahunan dengan penyertaan lebih meluas dari negara-negara ASEAN pada masa hadapan.

Majlis pelancaran rasmi FSKTM TECH4GOOD 2025 telah diadakan pada 7 Mei 2025 di FSKTM sebagai simbol komitmen fakulti dalam memperkukuh kerjasama serantau dan memacu inovasi teknologi berimpak tinggi.

 

Tarikh Input: 26/05/2025 | Kemaskini: 26/05/2025 | haris_harun

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
X, (09:10:10am-09:15:10am, 05 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]