FSKTM Memenangi Hadiah Idea Inovasi Terbaik 2019 | FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
» BERITA » FSKTM Memenangi Hadiah Idea Inovasi Terbaik 2019

FSKTM Memenangi Hadiah Idea Inovasi Terbaik 2019

Oleh: Noris Mohd Norowi

 

SERDANG, 22 November – FSKTM telah berjaya memenangi Hadiah Idea Inovasi Terbaik sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) UPM 2019 yang diterajui oleh Pusat Jaminan Kualiti baru-baru ini. Hadiah Idea Inovasi Terbaik ini bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pekerja UPM yang boleh menyumbangkan idea inovasi/tajuk projek yang terbaik, praktikal serta berpotensi untuk diketengahkan sebagai projek Inovasi Perkhidmatan atau Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di peringkat PTJ dan UPM, dan juga untuk menggalakkan pembentukan budaya fikir yang kreatif dan inovatif dalam kalangan pekerja UPM sebagai pemangkin ke arah penghasilan produk inovasi perkhidmatan UPM berimpak tinggi.

 

Dr. Noris Mohd Norowi merupakan wakil fakulti yang telah mempertandingkan idea bertajuk ‘PUTRAWelcome’ – suatu aplikasi yang memudahkan pendaftaran dan membantu transisi pelajar-pelajar baru ke UPM, khususnya, serta kawasan sekitar Serdang, amnya. Aplikasi ini merupakan suatu platform yang menyediakan capaian pantas bagi pelajar-pelajar yang inginkan maklumat berkaitan dengan hidup di kampus dan boleh juga dijadikan sebagai sumber rujukan sebelum tiba untuk mendaftar diri dan memulakan pengajian.

Pembentangan di hadapan juri diadakan pada 18 Oktober 2019, bertempat di Auditorium 1, Bangunan TNCPI, UPM, manakala keputusan akhir pula diumumkan pada sambutan Hari Kualiti dan Inovasi UPM 2019, pada 22 November 2019 bertempat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. Hadiah berupa cek bernilai RM300.00 serta sijil disampaikan oleh Yang Berbahagia Datin Paduka Dato 'Aini Ideris, Naib Canselor UPM.

 

Sebagai peneraju ICT, FSKTM menyokong bahawa penggunaan PUTRAWelcome bukan sahaja memudahkan orang ramai, malah ia akan menonjolkan UPM sebagai sebuah universiti yang maju kehadapan dengan teknologi terkini. Prototaip asas PUTRAWelcome sedang dibina dan adalah diharapkan agar idea ini memberi manfaat kepada semua sekiranya dapat direalisasikan sehingga menjadi kenyataan.

 

Tahniah, FSKTM!

Tarikh Input: 06/02/2020 | Kemaskini: 06/02/2020 | akmalhafiz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6501
03-9769 6576
SXEaEAY~