UPM Serdang, 6 November 2024 – Unit Latihan Industri dan Kerjaya, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat telah mengadakan program CSIT Career Fair 2024 yang berlangsung selama 2 hari bermula dari 5 November 2024. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Prof Dr. Shamala K.Subramaniam, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.



Sebanyak 18 buah syarikat iaitu Deloitte Southeast Asia, Global Intelligence Sdn Bhd, Bank Negara Malaysia, Boostorder Sdn Bhd, PERKESO, Zalora(M), Syntronic Malaysia Sdn Bhd, iDynamics Software Sdn Bhd, Finuexus Group, AMD, SangforTech (M) Sdn Bhd, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Hilti Asia, Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd, E-Outsource Asia Sdn Bhd, eBdesk Malaysia Sdn Bhd, dan BeanSE Sdn Bhd telah menyertai program pada edisi kali ke -3 ini.


Program ini menawarkan peluang kepada pelajar untuk berhubung secara langsung dengan syarikat- syarikat terkemuka dalam industri teknologi maklumat, mendapatkan panduan Latihan industri dan kerjaya, dan memahami lebih mendalam mengenai keperluan serta peluang dalam pasaran pekerjaan.


Pelbagai sesi telah diadakan termasuk temu duga terbuka, sesi perkongsian kerjaya, ceramah industri, kuiz teknologi serta pertandingan pengaturcaraan yang telah berjaya menarik penyertaan ramai pelajar dan juga bengkel pembangunan diri untuk membantu pelajar bersiap sedia menghadapi alam pekerjaan. Program ini menyediakan platform bagi majikan untuk mengenal pasti bakat baru, khususnya dalam bidang pengaturcaraan, pembangunan perisian, dan sains data, selari dengan aspirasi universiti yang mahu melihat penekanan diberi kepada bidang AI, Quantum dan Keterjaminan makanan.


Selain daripada itu, terdapat juga gerai-gerai yang dikendalikan oleh beberapa kelab pelajar untuk mengasah bakat kemahiran keusahawanan mereka. Di samping itu, program ini juga menyediakan sebanyak 8 buah gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk kemudahan pengunjung sepanjang program berlangsung.


CSIT Career Fair 2024 telah mendapat sambutan yang sangat baik dengan mencatat rekod kehadiran seramai 350 orang. Bilangan ini terdiri daripada pelajar Jabatan Sains Komputer, Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat, Jabatan Multimedia dan, Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian. Program ini juga dihadiri oleh sebilangan pelajar dari Fakulti Ekologi Manusia, Fakulti Pengajian Pendidikan dan Fakulti Bioteknologi.

Tarikh Input: 13/11/2024 | Kemaskini: 07/05/2026 | haris_harun

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Unit Akademik: 03-9769 1737
Unit Siswazah dan Antarabangsa: 03-9769 1742
Unit Komunikasi Korporat: 03-9769 3096